Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 45

A A A
Alkitab Versi Borneo

Takhta-Mu kekal selama-lamanya

Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu "Bunga Bakung." Renungan puak Korah. Lagu kasih. 1Hatiku melimpah dengan tema yang indah,

aku menyanyikan ciptaanku tentang Raja;

lidahku seperti pena pujangga.

2Engkau lebih hebat daripada anak-anak manusia;

kasih kurnia tercurah di bibir-Mu,

maka Allah memberkati-Mu selama-lamanya.

3Ikatkan pedang-Mu di pinggang, wahai Raja yang perkasa;

dengan kemuliaan dan kedaulatan-Mu.

4Dan dalam kedaulatan-Mu tujulah kemenangan

bagi kebenaran, kerendahan hati dan keadilan;i

maka tangan kanan-Mu akan mengajar-Mu pelbagai perkara yang menakjubkan.

5Anak-anak panah-Mu tajam menikam jantung musuh Raja;

bangsa-bangsa rebah ke bawah kaki-Mu.

6ATakhta-Mu, ya Allah, kekal selama-lamanya;

tongkat keadilan adalah tongkat kerajaan-Mu.

7Engkau mencintai perbenaranii dan membenci kejahatan;

oleh itu Allah, Allah TUHAN-Mu,

telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.

8Seluruh pakaian diharumi damar wangi, gaharu dan cendana

dari istana-istana gadingiii yang menggirangkan hati-Mu.

9Puteri raja-raja antara perempuan terhormat di keliling-Mu;

di sebelah tangan kanan-Mu berdiri permaisuri berhias emas dari Ofir.

10Dengarlah, wahai anak perempuan, pasang telingamu baik-baik dan timbangkan kata-kataku:

Lupakan bangsamu dan rumah ayahandamu.

11Kecantikanmu memikat hati Raja;

hormati Dia kerana Dia Tuanmu,

12Puteri Tirus akan datang membawa hadiah,

orang kaya akan cuba mengambil hati-Mu.

13Puteri penuh kemuliaan di istana;

pakaiannya ditenun dengan benang emas.

14Dia akan dibawa menghadap Raja dengan pakaian aneka warna;

anak-anak dara yang mengiringnya akan menghadap-Mu.

15Dengan gembira dan sorakan ria mereka akan dibawa;

mereka akan masuk ke istana Raja.

16Anak-anak-Mu akan menggantikan nenek moyang-Mu;

Engkau akan merajakan mereka di serata bumi.

17Dengan nyanyianku ini nama-Mu akan diingati turun-temurun;

maka bangsa-bangsa akan memuji-Mu selama-lamanya.